Sistem Pendidikan Malaysia Kedua Tercorot Di Asia Tenggara
Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di Asia Tenggara termasuk di belakang Vietnam dalam keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelaja...
http://fantasianetwork.blogspot.com/2013/12/sistem-pendidikan-malaysia-kedua.html
Malaysia menduduki tangga kedua tercorot di Asia Tenggara termasuk di belakang Vietnam dalam keputusan Program Penilaian Antarabangsa Pelajar (PISA) dan ia sangat mengejutkan, kata Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli (gambar).
Hanya Indonesia yang berada di belakang Malaysia di kalangan negara Asia Tenggara yang turut serta dalam penilaian itu sementara Singapura dan Thailand di depan Malaysia.
PISA adalah sebuah program penarafan mutu pendidikan di sekolah yang dikendalikan oleh OECD (Organisation for Economic Corporation and Development) bagi pelajar 15 tahun yang melibatkan negara dari seluruh dunia.
Ia menguji kemampuan dan penguasaan pelajar dalam tiga bidang utama iaitu membaca, matematik dan sains.
PISA menjadi piawaian antarabangsa yang digunakan untuk menilai keberkesanan dan mutu sistem pendidikan sekolah di dunia.
Berikut adalah kedudukan Malaysia berbanding negara jiran dalam penilaian PISA 2012 yang baru diumumkan:
"Ini satu keputusan yang sangat mengejutkan apabila terbukti mutu dan keberkesanan sistem persekolahan kita ternyata jauh ditinggalkan oleh Vietnam, sedangkan Vietnam pernah dimusnahkan dalam peperangan dan ekonominya jauh lebih mundur berbanding Malaysia," kata Rafizi.
Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bukan sahaja Malaysia jauh ketinggalan dengan Singapura yang menduduki tangga kedua pencapaian di seluruh dunia, Malaysia dikejutkan dengan peningkatan mendadak sekolah di Vietnam yang mengatasi prestasi sekolah di negara maju dan Eropah.
Pada 2012, Vietnam berjaya memasuki tangga 10 negara teratas dalam mata pelajaran sains dengan menduduki tangga ke-8 mengatasi Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara Eropah lain.
"Sudah tentu menjadi tanda tanya kepada kita bagaimana Vietnam yang sumbernya cukup terhad, infrastruktur kurang baik dan ekonominya lebih kecil daripada Malaysia berjaya melonjakkan mutu pendidikan sekolahnya sedemikian rupa," katanya.
Penerangan rasmi yang diberikan di laman Kementerian Pendidikan menggariskan faktor berikut yang menyebabkan keputusan PISA yang corot:
1. Sikap murid – ramai murid yang turut serta tidak bersungguh-sungguh kerana menganggap penilaian ini tidak penting. Banyak soalan tidak dijawab.
2. Format soalan – soalan PISA lebih berbentuk teks panjang yang memerlukan pemahaman, terjemahan dan refleksi dengan kehidupan sebenar. Soalan peperiksaan awam lebih ringkas dan berdasarkan rajah dan jadual.
3. Keutamaan guru – Kebanyakan guru mengutamakan menghabiskan sukatan mata pelajaran dengan cepat dan tidak mengambil masa memahamkan murid dengan konsep. Banyak jalan pintas yang digunakan untuk menghafal terutama melalui latih tubi.
Rafizi berkata, beliau menerima faktor tersebut dan bersetuju dengan post-mortem Kementerian Pendidikan yang jelas mengiyakan pandangan ramai pihak mengenai kelemahan sistem pendidikan sekarang.
Katanya, semua kelemahan itu tidak boleh disalahkan kepada guru atau murid kerana mereka adalah sebahagian daripada budaya pendidikan yang dibentuk melalui dasar mementingkan keputusan peperiksaan semata-mata sehingga tidak memberi ruang kepada percambahan fikiran berbeza dan sistem imbuhan/naik pangkat yang membuka ruang kepada budaya membodek.
Beliau berkata, tindak balas Kementerian Pendidikan yang memperkenalkan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) pula jauh tersasar matlamatnya dan berbeza daripada pelaksanaan di negara lain.
Akibatnya, guru pula dibebankan dengan tugasan mengisi borang dan kerja birokrasi lain sehingga mengurangkan lagi masa untuk menerangkan konsep dan pemahaman.
"Sebab itu, keputusan PISA yang meletakkan Malaysia sebagai negara kedua tercorot di Asia Tenggara sewajarnya mengejutkan dan meyakinkan kita bahawa sistem pendidikan sekolah sekarang tidak berjaya mempersiapkan Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa dan serantau,” katanya.
Sehubungan itu, Rafizi menyeru supaya Menteri Pendidikan menerima hakikat ini dan mengambil langkah berikut:
1.Menggantung pelaksanaan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) untuk ditambah baik dengan mengambil kira masalah yang disebut oleh Kementerian Pendidikan mengenai kepincangan sistem pendidikan sekolah.
2. Mengubah sukatan mata pelajaran dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran di sekolah supaya ia menekankan pemahaman konsep dan bukan mengingati fakta dan soalan latih tubi semata-mata.
Rafizi berkata, walaupun Barisan Nasional menghabiskan ratusan juta ringgit membayar perunding asing untuk mendapatkan idea menaik taraf sistem pendidikan, sehingga kini tidak ada sebarang langkah berkesan yang dicadangkan untuk mengatasi masalah umum sistem pendidikan negara. – 4 Disember, 2013.