Kes Guru Menampar "Telinga Berdengung"
LABIS - Seorang bapa tidak berpuas hati atas tindakan seorang guru yang didakwa menampar anaknya dalam satu kejadian di kantin sekolah, kel...
http://fantasianetwork.blogspot.com/2014/01/kes-guru-menampar-telinga-berdengung.html
LABIS - Seorang bapa tidak berpuas hati atas tindakan seorang guru yang didakwa menampar anaknya dalam satu kejadian di kantin sekolah, kelmarin.
Terkilan dengan tindakan itu, bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Mad, 47, membuat laporan di Balai Polis Labis.
Dakwanya, dia menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari salah seorang guru di sekolah berkenaan yang juga rakannya kira-kira 11.45 pagi kelmarin yang memberitahu anaknya, berusia 11 tahun, ditampar sebanyak tiga kali ketika sedang makan di kantin.
“Selepas menerima SMS berkenaan, saya terus pergi ke sekolah anak saya dan berjumpa dengan guru besarnya bagi mendapatkan penjelasan. Namun malangnya, dia (guru besar) tidak dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Anak saya memberitahu ketika itu ramai lagi murid lain yang makan berdiri di kantin tersebut kerana kekurangan kerusi sebelum tiba-tiba dia ditampar tiga kali di pipi kiri dari belakang oleh guru tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Dakwanya lagi, guru tersebut bukan sahaja menampar pipi anaknya malah mencubit murid lain kerana melakukan kesalahan sama selain guru berkenaan turut mencabar anaknya berlawan.
Mad turut membawa anaknya mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Segamat serta melaporkan kejadian itu di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat.
“Saya tidak berpuas hati kerana guru tersebut bertindak melulu tanpa memberi ruang untuk anak saya menjelaskan keadaan sebenar.
“Saya bukan menangkan anak saya, tetapi hukuman terhadap murid biarlah berdasarkan kesalahan yang dilakukan dan mengikut peraturan yang ditetapkan bukannya mengikut perasaan,” katanya.
Menurutnya, akibat tamparan tersebut, mangsa murid tahun lima yang juga seorang pengawas di sekolah tersebut mengadu sakit di bahagian telinga kirinya dan berasa takut untuk ke sekolah.
Bapa mangsa juga berharap pihak bertanggungjawab dapat melakukan siasatan terperinci kerana perlakuan guru tersebut boleh memberi gambaran buruk terhadap masyarakat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Md Hasidin Zaibi berkata, pihaknya akan mengarahkan PPD Segamat menjalankan siasatan lanjut dan jika didapati bersalah, guru tersebut akan dikenakan tindakan.
"Masalah ini boleh diselesaikan sekiranya masing-masing bermuafakat dan bertolak ansur," katanya.
SUMBER : SINARHARIAN