Hala Tuju Safee Sali
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak sudah membuat keput...
http://fantasianetwork.blogspot.com/2013/11/hala-tuju-safee-sali.html
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak sudah membuat keputusan untuk beraksi dalam Liga Premier musim depan bersama pasukan Johor, lapor MOHD FIRDAUS YON.
Menurutnya, Zaquan yang terlepas hampir separuh musim Liga Malaysia 2013 akibat kecederaan sudah menyatakan persetujuan untuk beraksi bersama pasukan Johor.
Bagaimanapun, Tunku Mahkota Johor itu pada masa sama memberitahu penyerang kebangsaan, Safee Sali pula masih belum membuat keputusan mengenai masa depannya bersama Harimau Selatan.
“Safee masih belum buat keputusan. Dia kata masih ingin berfikir, tetapi saya harap dia akan buat keputusan dalam masa dua tiga hari ini.
“Apapun kini pasti, Zaquan akan bermain untuk Johor musim hadapan,” kata Tunku Ismail selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan pilihan JDT dan pasukan Timbalan Setia Negeri (JMF) di Padang Sri Gelam, di sini, semalam.
Safee yang dipinjam daripada kelab Indonesia, Arema FC gagal untuk menyerlah sepanjang bersama pasukan JDT, namun dia ditawar untuk beraksi dalam Liga Premier bersama pasukan Johor musim hadapan.
Selain itu, Tunku Ismail berharap barisan pemain-pemain bintang yang bakal beraksi bersama JDT musim depan dapat membantu merealisasi impian skuad Harimau Selatan untuk layak ke Piala AFC.
Katanya, gandingan dua pemain import, Pablo Aimar dan Braulio Rodriguez di samping pemain Lions XII, Hariss Harun bersama pemain-pemain bintang tempatan lain diyakini mampu untuk memberikan impak yang positif kepada pasukan.
Beliau memberitahu, status bintang tidak membolehkan pemain mendapat tempat secara automatik dalam kesebelasan utama sebaliknya mereka harus bersaing untuk menjadi antara yang terbaik dalam pasukan.
“Pada awalnya kita bimbang akan timbul masalah apabila bakal ada pemain bintang yang diletakkan di bangku simpanan, namun apabila saya bertanya kepada jurulatih, Cesar Ferrando Jimenez, dia memberikan jawapan yang positif.
“Jimenez kata, sebagai pemain profesional, pemain harus beranggapan walaupun seminit mereka berada di padang, bermakna dia sudah jalankan tugas dan memainkan peranan buat pasukan,” katanya.
Kesemua pemain JDT dan Johor dijangka akan diperkenalkan secara rasmi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 21 Disember ini.
SUMBER : SINARHARIAN