Di Dakwa Bersalah Rakam video suri rumah mandi
KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif sebuah syarikat swasta hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan m...
http://fantasianetwork.blogspot.com/2014/01/di-dakwa-bersalah-merakam-jiran-mandi.html
KUALA LUMPUR - Seorang eksekutif sebuah syarikat swasta hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini terhadap pertuduhan merakam video seorang suri rumah sedang mandi di sebuah kondominium, empat hari lalu.
Izwar Efendi Taswar, 32, didakwa melakukan kesalahan itu terhadap mangsa yang tanpa berpakaian dengan niat mengaibkan kehormatan mangsa menggunakan sebuah telefon bimbit.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik air di sebuah kondominium di Bandar Sri Permaisuri, dekat sini, jam 11.52 pagi pada 11 Januari 2014 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Tan Siew Ping manakala tertuduh yang kelihatan bersahaja tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Siew Ping menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh dilarang mendekati mangsa dan keluarganya serta pasport diserah kepada mahkamah.
Rakan tertuduh yang hadir sebagai penjamin bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu dikurangkan.
Majistret Saifulakmal Said kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan permohonan syarat tambahan pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 14 Februari ini untuk sebutan bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.
Dalam prosiding itu, suami mangsa hadir dan berada di galeri awam sehingga prosiding selesai.
Sebelum ini, media melaporkan lelaki yang sudah berkahwin berkenaan merakamkan video selama 14 saat sebelum disedari mangsa yang kemudian memaklumkan kepada suaminya. - Bernama